30.1.14

Romantika Boulevard ke Kota Timur (episod 3)

sambungan..

   Dia memadam api daripada periuk buburnya . Mengacau bubur itu perlahan-lahan sebelum memasukkan isinya sedikit ke dalam mangkuk. Lelaki itu kemudiannya menuju ke meja makan sebelum membelek-belek suratkhabar tentang perubahan baru yang bakal menjadi pusat tarikan anak-anak muda pada tahun 2011 kelak .
  " Hai , makan bubur je anak abah ni ? " terdengar suara lelaki tua berdehit sambil membawa beberapa buku tebal dan sebuah beg laptop sebelum menyertai anak lelakinya .
  " abah baru balik ke? " soal si anak sambil membantu lelaki tua itu meletakkan buku-2 tebalnya di atas meja . Tampak pada tulisan emas di buku itu yang berjudul Studying Human Behavior . Lelaki tua itu jelas keletihan sebelum menyuap sesudu bubur daripada mangkuk anaknya .
   " alah..abah ni , tak aci makan Khusairi punya . Abah ambil sendiri la kat dapur ." gurau lelaki itu sebelum kembali duduk di sebelah ayahnya . Lelaki tua itu tersengih selamba.
  " Abah lapar. Apa salahnya kamu jadi tukang masak abah? Penat tau seharian duduk di Universiti .Perangai pelajar macam-2."
  " Abah kan professor . Kalau depa tak hantaq assignment , abah kasi potong markah depa!"
  " Hang ni cakap ikut sedap mulut ja noo !"
Tawa berderai daripada dua beranak itu . Mana tidaknya , Syed yang membela Khusairi selepas Fasihah lari meninggalkan dia . Perkahwinan Syed dan Fasihah diatur keluarga . Fasihah tidak cintakan Syed . Sekadar memenuhi kehendak ibu dan bapanya yang ingin dia berkahwin dengan seorang pendidik . Waktu itu usia Khusairi baru dua bulan , Fasihah kemas kain bajunya dan cabut lari mengikut kekasih hatinya , Taha.
  Ya, Syed terpempan . Tertampar rasa ego dan maruah lelakinya. Namun masakan cinta boleh dipaksa-paksa? Jadi kerana cinta jugalah , dia memelihara Khusairi . Jauh sekali dia membenci Fasihah , malah dia menggalakkan Khusairi untuk mencari Fasihah , jika isterinya itu masih hidup dan sihat walafiat . Fasihah tetap ibu Khusairi . Namun sebagai bapa, kasih sayang kepada Khusairi tak pernah padam . Dia berusaha sedayanya untuk menjadi bapa dan ibu pada masa yang sama.
   " awat ni abah , termenung je ." Syed tersenyum .
   " abah dok pikiaq , bila hang nak menikah? "
 Rasa bagai ingin tersembur isi bubur yang baru dhirupnya . Mujur , ditelannya cepat-2. Lantas dia teringat kepada bungkusan pasu dan sekeping poskad yang dihantarnya dua hari lepas.
   Kalau abah tahu , mampus aku kena marah
 Fikirannya melayang kepada iklan Mencari Jodoh daripada sebuah agensi cari jodoh yang dibacanya kelmarin dulu. Tanpa berfikir panjang , dia menghantar kiriman seperti apa yang dinyatakan tanpa mengetahui sama ada kirman itu akan berbalas ataupun tidak.
Bodohkah aku ?

                                              .______________________________.

    Liyana nekad.
    Kad yang ditulisnya sudah hampir semalaman dihafal . Terbayang bait-bait tulisan di birai matanya . Dia tenung jam di dinding , lapan malam tepat . Perlahan-lahan dia keluar dari rumah menuju ke peti pos berwarna merah yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahannya , betul-2 terpacak di sebelah perhentian bas.
    Sepuluh minit selepas itu, dia sudah berdiri di hadapan peti tersebut . Dia cuba menghitung perjalanan hari bagi kad kirimannya untuk tiba ke tangan sahabat yang jauh itu.
    " Kalau benar perkara ini wujud , aku akan kenali sahabat ini . Malah jika dia seorang lelaki , aku akan curahkan sepenuh jiwa raga kepadanya. " Liyana pejamkan kedua matanya . Entah kenapa, hembusan angin yang bertiup menampar-nampar kedua belah pipinya seakan menjadi saksi kepada kata-katanya itu .
     Nafasnya dihela . Kad yang sudah bersampul itu dimasukkan perlahan ke dalam tong merah , sebelum kedengaran kad itu melayah jatuh terhempas perlahan di dalamnya. Dia berundur sedikit, bagai mengharap satu keajaiban berlaku.
    Satu saat , satu minit , semakin ditunggu , perasaannya semakin merengsa .
Sah ! ini satu penipuan , dan aku begitu tolol membalas satu kiriman si penipu . Bodohnya!
    Hatinya remuk redam . Kenapalah dia perlu percaya kepada satu perkara yang memang tak pernah wujud? Manakan ada kiriman dua tahun lepas , baru sampai pada tahun ini ?
   
    Dia berjalan penuh sesal menuju ke rumahnya sambil tak sudah-2 membebel kepada diri sendiri . kenapa dia begitu bengap untuk membezakan mana yang realiti dan mana yang fantasi .
    "...separuh jiwa raga kepadanya...konon ! Mengarut ! itulah , percaya sangat cerita tak logik macam ni. Karut ! ." Marahnya lagi sebelum merenggut gugusan kunci dari dalam kocek seluarnya sebelum membuka tombol pintu .
    Sesuatu yang berkeping dan agak tipis melayah dari bumbung sebelum jatuh menimpa kepala gadis itu . Liyana tercengang sebelum memerhatikan kepingan kad tersebut jatuh di sebelah kakinya . Dia pantas mengutip dan membacanya .

                Salam Sahabat,
                Berbanyak terima kasih kerana membalas kiriman saya .
                Hampir seminggu saya tunggu . Terima kasih kerana sudi bersahabat dengan saya
                Tapi pelik juga , macam mana alamat awak di Boulevard Square , sedangkan
                tempat itu hanya akan dibangunkan pada dua tahun lagi ?

                Sahabat yang jauh,
                Kota Timur ,
                Mei 26, 2008.

 Ya Allah..

bersambung.. *dipetik dari buku cerpen Faizal Sulaiman*

episod sebelumnya

Dilarang Menghukum,Terima Kasih